Follow Me!!!

1 February 2010

Dia yang bergelar Lelaki

29 Januari baru sahaja meninggalkanku dan kini 7 Februari makin menghampiriku. Kedua-dua tarikh ini amat bermakna bagi aku kerana ia merupakan tarikh dua orang adik perempuanku diputerikan, Fatin Nadia (22) dan Irsalina Syaza (11). Manakala dua orang lagi adik perempuanku iaitu Awatif Nazurah (14) diputerikan pada 4 Mei dan Ainaa Syafiqah (19) diputerikan pada 25 Mei. Saban tahun tarikh kelahiran adik-adikku ini mengingatkan aku kepada seseorang, seorang ketua kepada keluarganya, seorang suami kepada isterinya, seorang ayah kepada anak-anaknya.

Lelaki ini juga merupakan seorang yang penyabar, seorang yang penyayang dan sentiasa memberikan senyuman. Apabila tiba saat ibuku hendak bersalin, dia akan bertanya soalan kepadaku, soalan yang diulang setiap kali ibuku hendak bersalin, “Hanan nak adik lelaki atau perempuan?”, lalu jawabku “adik lelaki”, kemudian dia menyambung “Hanan rasa mama dapat baby boy atau baby girl?”, jawabku “baby boy”. Begitulah jawabku setiap kali ditanya oleh lelaki berkenaan, namun Allah lebih mengetahui di dalam mengatur kehidupan hambaNya.

Aku masih ingat bagaimana aku sentiasa bersamanya dan mendampinginya saban hari. Dengan dia aku mengenal muzik, dengan dia juga aku mengenal Al-Quran. Dia akan menengking aku apabila setiap kali bacaanku salah dan dia akan memulas telingaku apabila setiap kali aku membuat kesalahan dalam matematik. Dia merupakan seorang tenaga pengajar yang amat dedikasi terhadap pekerjaannya. Walaupun dia mengajar di sekolah kerajaan tetapi keinginannya untuk melihat aku mempelajari ilmu agama menyebabkan dia menyuruh aku memasuki Ma’ahad Al-Abbasiah, sebuah sekolah agama rakyat setelah aku menamatkan persekolahan di peringkat rendah.

Pada tahun 2001 semasa aku di tingkatan 3, sekolahku mengadakan satu majlis dan aku terlibat sebagai ahli jawatankuasa pelaksana majlis tersebut. Semasa majlis berlangsung, guru kelasku iaitu Ustaz Aswad memanggilku lalu berkata “ada seseorang nak jumpa kamu”, apabila aku menoleh lantas wajah lelaki yang selalu aku dampingi terpacul di pintu kelas. Dengan senyuman aku berlari ke arahnya. Dia menyuruh aku memasuki kereta Toyota Corolla berwarna putih kekuningan. Aku masih ingat lagi nombor pendaftaran kereta tersebut iaitu ABC 6075. Aku dan dia sering menyanyikan sebuah lagu apabila kami berada di dalam keretanya “ABC 6075, ini kereta Wak Rahman yang punya”.

Tetapi kali ini dia sudah tidak lagi menyanyikan lagu tersebut. Dia juga jarang berbual dan lebih suka kepada senyap. Setibanya kami di Pekan Tanjung Malim, terus dia membawaku ke sebuah tempat di hujung barisan kedai usang yang usianya hampir mencecah seratus tahun. Dia menyuruh aku memilih sepasang kasut baru tetapi aku hanya diam tanda tidak tahu. Lalu dia memilih sepasang sandal sarung berwarna hitam untuk aku. Kami meneruskan perjalanan ke Universiti Putra Malaysia di mana majlis konvokesyen akan berlangsung. Aku melihat dia mengenakan jubah konvokesyen berwarna hijau pucuk pisang dan topi pengijazahan lalu beratur di tepi dewan utama. Kami yang lain dikerahkan masuk ke dalam dewan utama. Di saat dia menerima segulung ijazah di atas pentas, terlintas di benakku bahawa suatu hari nanti aku pula yang akan berada di atas pentas menerima segulung ijazah manakala lelaki tersebut duduk di satu sudut sambil menyaksikan aku.

Hari demi hari lelaki tadi terus mendiamkan diri seribu bahasa, tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulutnya. Dia tidak lagi menjamah hidangan yang lazat mahupun kari kepala ikan yang menjadi kegemarannya. Dia hanya menjamah bubur nasi ataupun bubur gandum dengan segelas air susu soya. Setiap empat jam dia akan makan dua biji panadol dan satu sudu syrup heroin untuk mengurangkan kesakitannya. Tetapi baginya ubat tersebut bukan menghilangkan kesakitan tetapi hanya sekadar menenangkan jiwanya. Selama dua tahun dia hanya menjamah bubur gandum dan air soya dan selama dua tahun jugalah dia mencari penawar bagi kesakitan yang ditanggungnya. Daripada bomoh sehingga ke doktor pakar, semuanya memberikan jawapan yang negatif namun dia tetap bersabar dan pasrah dengan dugaan yang dihadapinya. Baginya semua ini adalah ujian dari Allah untuk melihat hambaNya tunduk kepadaNya. Sinar harapan masih wujud baginya untuk sihat seperti sediakala lalu dia membuat pinjaman kerajaan sebanyak RM140,000 bukan untuk kos pembedahan tetapi untuk membina sebuah rumah impian untuk keluarganya kerana selama ini mereka hidup menyewa.

Masih jelas diingatanku bahawa dia ingin melihat aku menyambung pengajian di peringkat universiti dan dia juga ingin melihat rumah impiannya. Pada suatu hari dia dijangkiti demam daripada anak-anaknya membuatkan penyakitnya menjadi lebih teruk. Beberapa jam selepas dijangkiti demam, dia dimasukkan ke hospital. Keesokan harinya pada tarikh 3 Oktober 2002 aku menerima panggilan daripada Hospital Besar Tapah, mereka memaklumkan bahawa dia sudah tiada lagi di dunia ini. Menitis air mataku apabila menerima berita tersebut tetapi apakan dayaku, Allah lebih menyayanginya dariku. Kini rumah yang tersergam indah tidak sempat di duduki oleh dia, segulung diploma milikku juga tidak sempat untuk ditatapinya. Sehingga kini aku sentiasa berdoa untuk kesejahteraan rohnya sebagaimana dia berdoa untuk kejayaan aku. Moga Allah merahmati rohnya dan menempatkan dia bersama orang yang beriman dan soleh. Bagiku dialah yang selalu memberi semangat kepadaku, dialah yang mengajarku erti kehidupan, dialah yang bernama Abdul Rahman Bin A.Khalid, dialah ayahku.

0 comments:

Post a Comment